Sunday 10 March 2013

Ke Makkah Membawa Hati Yang Kosong ~

Assalamualaikum...
Ramai yang datang ke tanah suci membawa hati yang kosong. Rasanya masih ramai yang ke tanah suci tidak menyediakan bekalan dari segi kerohanian dengan secukupnya. Setengahnya membawa hati dan jiwa yang bergeladak dengan kekotoran dosa. Ditambah pula dengan masalah kejahilan mengenai ilmu agama. Kerana itu ramai yang tidak dapat merasai nikmat kelazatan beribadah di tanah suci. Kerana mata hati telah buta dan hati telah mati.
Tidak hairanlah jika yang dirasai ialah kesulitan dan kepayahan sahaja. Cuaca panas masalah. Cuaca sejuk pun masalah. Tambahan pula jika terjadi sesuatu peristiwa yang menguji kesabaran jemaah. Bas datang lewat, contohnya. Mengomel dan mengeluh sahaja. Tambah parah jika kemarahannya tidak boleh dikawal, malah bangga kerana bersikap sedemikian. Boleh marah pada Pak Arab. Terasa dirinya hebat. Hilang rasa hormat terhadap orang lain. Malah ramai yang gagal mengawal emosi dan bertindak tidak rasional semasa di sana. Contoh mudah, nak naik lif pun berebut-rebut dan bergaduh dengan jemaah dari negara lain. Hilang semangat tolak ansur dan sikap tolong menolong. Merasakan dirinya sahaja yang betul. Orang lain semuanya salah di matanya. Tambah buruk jika kemarahannya dihalakan tidak kira siapa di hadapannya. Empunya diri selalunya tidak sedar warna dirinya yang sebenar dizahirkan oleh Allah di tanah suci. Jika begini keadaannya, bagaimana kita mahu mengharapkan keampunan dan redha Allah. Nauzubillah.
Mengapa boleh terjadi demikian ?
Saya berpendapat jemaah yang bersikap seperti di atas kerana kurangnya persiapan dalaman atau kerohanian. Datang ke tanah suci kerana ikut-ikutan. Orang pergi Umrah, dia pun tidak mahu ketinggalan. Ilmu agama tidak dipelajari. Cuba kita tanya diri kita termasuk saya, adakah kita sebelum ke tanah suci memulakan langkah dengan melakukan Solat Taubat. Menyesal dan berazam untuk tidak mahu mengulangi dosa-dosa yang telah lalu. Berazam untuk sekembalinya dari tanah suci mahu menjadi insan yang bertaqwa iaitu taat kepada perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Bebas 100% dari terlibat dengan maksiat samada maksiat zahir mahupun batin. Malah bencikan maksiat dan cintakan amal maaruf.
Kata Ulama’ sifat “taqwa” tidak dapat wujud dengan kukuh dan mantap kecuali bagi orang-orang yang memiliki hati yang bersih dari segala kekotoran dosa syirik dan khurafat, bersih dari sifat-sifat keji batiniah seperti sombong, takabbur, ria’, pemarah, hasad dengki, suka bermegah-megah dan ujub iaitu kagum dan hairan dengan dirinya iaitu merasa dirinya lebih hebat dari orang lain. Seorang penyair Sufi bermadah :
“Tumpukanlah perhatianmu terhadap jiwamu dan sempurnakanlah keutamaan-keutamaannya. Kerana engkau dipanggil manusia bukan kerana tubuhmu, tetapi lantaran jiwamu.”
Kerana itu untuk menjadi Tetamu Allah, hati harus bersih. Iaitu hati yang tulus ikhlas melakukan pengabdian semata-mata kerana Allah. Bukan kerana ria’ atau minta dipuji orang. Perasaan dan pemikiran juga sedaya upaya hendaklah diajak untuk tunduk kepada Allah. Serentak dengan itu lidah sentiasa melafazkan Talbiyah dan Zikrullah. Lidah tidak mengeluarkan perkataan kecuali yang baik-baik sahaja seperti untuk menjaga hubungan persaudaraan, nasihat dan tunjuk ajar, akad jual beli dan sebagainya.
Manakala anggota badan (termasuk kaki dan tangan, mata dan telinga) kesemuanya diajak untuk tunduk patuh melakukan pengabdian kepada Allah menerusi kerja-kerja ibadah Umrah, tawaf sunat, solat 5 waktu berjemaah, solat-solat sunat dan amal kebajikan yang lain seperti  bersedekah, memimpin dan menolong orang tua yang lemah dan sebagainya.
Mampukah kita melakukannya ? Jawapannya, ada pada kita. Set dalam minda kita bahawa kita datang ke tanah suci dengan membawa hati yang tulus ikhlas beribadah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, bukan untuk disanjung oleh makhluk. Dengan harapan, pulang nanti dengan wajah kegembiraan kerana berjaya melakukan amal ibadah sebaik mungkin dalam batasan waktu yang singkat. Dan yang paling penting dan tidak boleh tidak, kawal diri kita agar tidak kalah dengan hasutan iblis dan syaitan yang sememangnya sentiasa cuba merosakkan kerja ibadah Umrah kita. Jangan sampai kita pulang nanti dengan penuh penyesalan dan kekecewaan kerana gagal mengawal hawa nafsu amarah kita atas ujian-ujian yang ditimpakan kepada kita. Ingatlah, sebagai Tetamu Allah kita akan diuji oleh Allah dengan pelbagai ujian sesuai dengan tahap keimanan kita. Bergembiralah mereka yang berjaya melepasi ujian Allah dengan penuh rasa sabar dan redha..insha ALLAH.. :)